Thursday 22 August 2013

Khairy : Kutipan Dana PTPTN Perlu Lebih Efektif

alt
 
Kerajaan perlu melaksanakan inisiatif yang efektif untuk mengutip kembali dana yang dipinjam pelajar menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berkata pelaksanaan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam tegar tidak releven ekoran jumlah peminjam PTPTN tidak terlalu besar.

"Ada banyak cara untuk kita kutip balik hutang dan ada banyak mekanisma yang ada pada PTPTN termasuk sekiranya pemimjam itu tegar tidak mahu bayar. Dia boleh ambil tindakan makhamah terhadap pelajar-pelajar tersebut.

"Saya difahamkan hanya 5 sehingga 6 peratus sahaja yang tidak mahu bayar pinjaman PTPTN," katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di Bangunan KBS disini, hari ini.

Khairy yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno turut berkata penyenaraian hitam kepada peminjam PTPTN yang ingkar membayar pinjaman akan menambah persepsi negatif terhadap PTPTN.

"Tidak perlulah kita menyenarai hitamkan (nama) mereka yang lambat bayar ataupun yang meminta pengecualian sebab masih tidak berpeluang berkerja dan sebagainya.

"Ini akan memberi persepsi negatif terhadap PTPTN, tidak perlu ada lagi satu lapisan. PTPTN amat fleksibel sebenarnya untuk membenarkan peminjam menyusun semula jadual pembayaran balik," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan CCRIS akan menambahkan beban kepada peminjam lebih-lebih lagi kepada bakal peminjam yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Yang degil tidak mahu bayar balik pinjaman itu banyak mekanisma tetapi jangan kita tambah lagi CCRIS yang boleh menakutkan bagi peminjam yang lambat bayar.

"Bukan maksud saya sebagai Ketua Pemuda UMNO tidak perlu membayar hutang PTPTN. Hutang mesti tetap dibayar tetapi tidak perlulah kita menakutkan dan membebankan graduan kita dengan menyenarai hitamkan nama yang tidak mahu membayar PTPTN," katanya.

SUMBER

0 comments:

Post a Comment