Sunday, 14 April 2013

"Pembangkang Tiada Kerjasama" - Joseph Salang

 
Pakatan Pembangkang sekali lagi menunjukkan ketidaksepakatan antara parti komponen apabila meletakkan dua calon di Parlimen Julau, terdiri daripada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan PAS.

Timbalan Menteri Penerangan dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata, Barisan Nasional (BN) tidak berasa gentar ekoran ianya memberi kelebihan kepada BN.

"Bagi PKR dan Pas, yang merupakan rakan dalam apa yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, perebutan mereka untuk meletakkan calon di sana menunjukkan ketiadaan kerjasama dan persefahaman antara mereka."

"Ini akan menimbulkan masalah pembahagian kerusi, yang merupakan perkara biasa bagi mereka, bukan saja di sini, tetapi juga di kawasan lain," katanya kepada pemberita pada Majlis bersama Rakyat di Balong, malam tadi.

Mengulas lebih lanjut mengenai PKR, Salang menjelaskan parti tersebut tidak lebih dari niat utamanya untuk mengambil alih kerajaan.

"Kita sudah melihat betapa, walaupun mencapai kemenangan di Selangor pada pilihan raya lepas, para pemimpin parti itu nampaknya tidak tahu cara untuk menggunakan kuasa mereka demi manfaat rakyat."

"Mengenai PAS pula, perjuangannya bukan saja tidak relevan dengan penduduk Iban tempatan atau pengundi Cina di Julau, tetapi juga di seluruh Sarawak.

Malah, selepas pilihan raya kecil Batang Ai (di Sarawak) pada April 2009, para pemimpinnya mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat Iban dan ini menunjukkan mereka tidak memahami masyarakat itu serta budaya mereka," ujarnya.

Kata Salang, walaupun PAS mempunyai semangat yang tinggi, tetapi perjuangan Islam yang digunakan PAS sebagai 'jenamanya' dilihat berlainan ekoran PAS turut mencampuraduk agama dan politik.

"Mungkin juga, PAS hanya ingin menunjukkan bahawa daripada segi semangat, ia sebuah parti pelbagai kaum dan agama, tetapi bukan daripada segi bentuk. Pada saya, jenama Islam yang terdapat pada parti itu juga, nampaknya berlainan."

"Apabila agama dan politik dicampuraduk, ia akan tercemar," kata Salang. Tambah beliau lagi, BN tetap relevan sebagai pilihan terbaik sekiranya pengundi melihat gambaran secara menyeluruh.

"Wakil BN adalah ibarat jambatan yang menghubungkan rakyat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN.

"Sekiranya anda bakar jambatan ini dengan tidak mengundi BN pada pilihan raya akan datang, ia bererti anda menolak satu saluran yang paling bernilai untuk menyampaikan sungutan, harapan atau impian anda kepada kerajaan untuk menikmati hari esok yang lebih baik," katanya.

Pada PRU12, Joseph Salang menang besar di Parlimen Julau dengan majoriti 7 584 undi, dengan jumlah undi terhadap BN berjumlah 10 351 undi.

Sementara itu, pembangkang meletakkan Ambrose Labang dari PKR dengan perolehan undi sebanyak 2 767.

SUMBER

0 comments:

Post a Comment