Friday, 26 April 2013

Kamilia Mohon Maaf

 
Selepas melanggar peraturan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Bekas Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim tampil meminta maaf diatas perbuatannya itu.

Permohonan maaf Kamilia disampaikan melalui sebuah rakaman video disebarkan kepada media dengan menyatakan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas ekoran tidak dicalonkan oleh parti.

“Saya memohon maaf kepada semua yang tersinggung dengan tindakan saya. Saya jadi calon Bebas kerana tidak dipilih dan diberi watikah pencalonan oleh parti yang saya anggotai."

“Mengikut sistem demokrasi negara ini, saya boleh menawarkan diri sebagai calon asalkan memenuhi syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Kamilia sebelum ini dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan tetapi ditolaknya.

Beliau kemudiannya bertindak bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar apabila tampil di pusat penamaan calon 20 April lalu dan menghantar borang penamaan sebagai calon.

Keputusan Kamilia terus mendapat perhatian Majlis Tertinggi BN termasuk Pengerusinya Datuk Seri Najib TUn Razak yang kemudiannya bertindak memecat keanggotaan Kamilia serta segala jawatan yang dipegangnya di dalam UMNO.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Kamilia bertentangan dengan perlembagaan UMNO dan parti dengan membelakangkan semangat perjuangan parti.

Jelasnya lagi, sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, Kamilia seharusnya lebih memahami perjuangan parti dan memberi sokongan kepada calon yang dipilih.

Pemecatan Kamelia berkuatkuasa secara automatik selepas beliau menyerahkan borang penamaan calon tersebut dan surat rasmi pemecatannya dikeluarkan isnin lepas.

SUMBER

1 comments:

  1. Lain kali pikir lah masak2 sebelum buat keputusan. Harapkan tua je lebih.

    ReplyDelete