Saturday 27 April 2013

Najib : Laungan 'Ubah' Cuma Gimik Pembangkang

 
Rakyat disarankan untuk tidak terpengaruh dengan slogan 'ubah' yang dilaungkan pembangkang ekoran ianya hanyalah gimik politik pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, slogan yang didakwa 'madu' sebenarnya mengandungi 'racun' sepertimana yang telah berlaku di empat negeri pembangkang iaitu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

"Empat buah negeri yang ditadbir pembangkang, setengah daripada kita termakan dengan slogan ubah, tetapi hari ini keempat-empat negeri itu sarat dengan kekecewaan sebab kerajaan yang dipilih tidak dapat laksana apa yang dijanjikan."

"Jadi, saya ingin mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali tertarik dengan ungkapan ubah sebab tidak ada apa-apa yang mereka lakukan sebelum ini selepas diberi amanah menjadi kerajaan di negeri berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di dataran Krian dekat Saratok, Sarawak, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu dan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri.

Jelas Najib, kegagalan pembangkang di Selangor harus dijadikan sebagai iktibar untuk rakyat sepaya tidak memberi peluang kepada pakatan tersebut menjadi pemimpin.

Katanya, rakyat yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang harus bijak memilih pemimpin dengan tidak menilai dari sudut pandangan seseorang individu sahaja.

Tambahnya, pemilihan pemimpin harus mengambil kira soal kemampuan dan kepercayaan untuk memimpin rakyat pada masa hadapan.

Ujarnya, sokongan rakyat terutama di Sarawak mempunyai signifikannya tersendiri menjelang PRU13 ekoran ianya turut melambangkan kekuatan BN di peringkat pusat.

Kata Najib, pengundi di Sarawak juga bertanggungjawab menentukan masa depan kerajaan pusat yang lebih kuat demi menjamin kestabilan Sarawak dan negara amnya.

SUMBER

0 comments:

Post a Comment